Susu Ibu ~ Titisan Emas Buat Si Anak







Semasa saya hamil anak pertama, saya memang sudah memasang niat untuk menyusukan anak saya dengan susu badan sepenuhnya. Sewaktu dalam pantang, saya mengambil peluang mencari maklumat mengenai breastfeeding. Pada pendapat saya, ibu-ibu yang ingin menyusu badan sepenuhnya anak mereka perlu mempunyai semangat yang kuat. 

Ramai di antara kita yang masih ragu-ragu untuk menyusukan anak-anak mereka terutamanya di kalangan ibu-ibu muda. Kurangnya ilmu pengetahuan mengenai susu ibu & juga halangan dan tekanan dari orang-orang sekeliling membuatkan mereka mudah terpengaruh dengan segala mitos yang tidak betul mengenai penyusuan susu ibu.



Untuk pengetahuan ibu-ibu muda sekalian, susu ibu mengandungi bahan pencegah penyakit yang mampu melindungi bayi daripada kebanyakan penyakit seperti serangan virus berbahaya. Terutamanya dalam kolostrum susu yang akan keluar pada hari pertama hingga ketiga kelahiran. Penyusuan susu ibu juga boleh mengurangkan risiko alahan. Susu ibu mempunyai kandungan yang mencukupi mengikut suhu persekitaran. Di samping itu juga, susu ibu mengalakkan tumbesaran yang normal pada bayi.

Susu ibu mudah dihadam kerana susu ibu diciptakan untuk sistem pencernaan manusia. Susu ibu juga boleh mengelakkan berlakunya kekuranan nutrien dalam tubuh bayi kerana susu ibu adalah makanan lengkap untuk bayi yang baru lahir sehingga berumur enam bulan. Peyusuan susu ibu juga boleh mengelakkan jangkitan bakteria pada usus bayi yang boleh mengakibatkan cirit birit atau muntah. Anak yang menyusu susu ibu tidak mempunyai risiko tinggi untuk menghadapi penyakit seperti diabetes, paru-paru berair dan jangkitan pada telinga.

Penyusuan susu ibu juga membawa kebaikan kepada si ibu. Penyusuan susu meningkatkan rembesan hormon oxytosin yang juga membantu dalam mempercepatkan proses pengecutan rahim ibu. Penyusuan juga boleh  mengurangkan risiko tumpah darah kepada ibu selepas bersalin dan aliran keluar nifas adalah lebih singkat. Ianya juga dapat mengurangkan risiko barah payudara dan ovari kepada si ibu.

Ibu-ibu yang ingin menyusukan anak perlu tahu bahawa kuantiti susu yang diperlukan oleh bayi ditentukan olehnya sendiri. Bayi akan menyusu apabila lapar dan berhenti sendiri setelah kenyang seiring dengan pertambahan usianya.

Apa yg paling penting, penyusuan susu ibu dapat mengeratkan hubungan dan ikatan di antara ibu & anak menerusi sentuhan kulit ke kulit dan eye contact semasa proses penyusuan semulajadi.







No comments:

Post a Comment